24 March 2012

Pelancaran Skuad Pengguna


KUALA LUMPUR, 22 Mac - Majlis Pelancaran Skuad Pengguna telah disempurnakan oleh YB Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan di KL Sentral, Kuala Lumpur.



Utusan Malaysia (23/03/2012)

Skuad Pengguna galak amalan perniagaan baik - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR 22 Mac - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan hari ini melancarkan Skuad Pengguna bagi memperkasakan peranan pengguna dan menggalakkan amalan perniagaan yang baik di kalangan peniaga.
  Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, skuad itu dipertingkatkan dari segi penstrukturan, imej dan keistimewaan kepada ahlinya untuk membantu kementerian memantau aktiviti perniagaan yang tidak beretika.
  "Skuad ini merupakan penjenamaan semula daripada Rakan Pengguna yang dilancarkan pada 2001 yang tidak mempunyai struktur yang jelas selain tiada sebarang keistimewaan.
  "Apabila berlaku krisis kekurangan barangan keperluan seperti gula, kita tidak nampak peranan yang dimainkan oleh Rakan Pengguna.
  ''Tetapi menerusi Skuad Pengguna ini, penyertaannya bukan sahaja di kalangan individu tetapi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pengguna dan bukan pengguna serta komuniti perniagaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skuad Pengguna di sini hari ini.
  Terdahulu, Ismail Sabri menyampaikan bantuan kewangan kepada beberapa NGO yang akan menggerakkan Skuad Pengguna antaranya Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
  Kementerian itu pada 2001 telah menubuhkan Sukarelawan Pemantau Harga yang kemudiannya dikenali sebagai Rakan Pengguna sebagai 'mata dan telinga' kerajaan untuk menyalurkan maklumat mengenai aktiviti perniagaan yang tidak beretika dengan keahlian seramai 43,000 orang.
  Ismail Sabri berkata, penglibatan NGO pengguna dan bukan pengguna memudahkan lagi penyaluran maklumat dan memperkasa suara pengguna sekali gus mampu menentukan sistem pasaran.
  "Aktiviti yang bakal dilaksanakan oleh skuad ini turut disokong oleh komuniti perniagaan seperti Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) serta pasar raya besar sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka," ujarnya.
  Beliau berkata, pengguna juga boleh mendapatkan pelbagai panduan kepenggunaan dan mendaftar diri sebagai ahli Skuad Pengguna dengan melayari Portal 1 Malaysia Pengguna Bijak di www.1pengguna.com

.
Foto oleh Presiden KPPM.

No comments:

Post a Comment