08 March 2012

Akhbar : SBPA dibatalkan, SSM ditambahbaik

Sumber : Berita Harian
PM: SBPA mansuh, kembali guna Sistem Saraan Malaysia
Wartawan Sinar Harian, 8 Mac 2012

SHAH ALAM - Skim gaji kakitangan kerajaan, Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diperkenalkan untuk dilaksana berkuat kuasa 1 Januari lalu, akan dimansuhkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
  Sehubungan itu, 1.4 juta kakitangan awam akan tertakluk kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM), yang diguna pakai sebelum ini, dengan dilakukan penambahbaikan.
  Perdana Menteri juga berkata, sebuah suruhanjaya khas yang terdiri daripada pelbagai pihak akan dibentuk bagi mengkaji sistem saraan perkhidmatan awam secara menyeluruh.
  Beliau yang juga Menteri Kewangan  mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Professional dan Kumpulan Pelaksana dari Gred 1 hingga Gred 54, bagi Kumpulan Gred Utama C,B,A (sembilan peratus), Gred Turus 3 dan 2 (lapan peratus) dan Gred Turus Satu dan Ketua Setiausaha Negara (tujuh peratus).
  Najib juga mengumumkan jadual gaji matriks yang dilaksanakan sekarang diubahsuai kepada gaji minimum-maksimum dengan kadar kenaikan RM80-RM320 bagi Gred 1-54 manakala gred bagi Jusa kekal mengikut kenaikan tahunan SSM.
  Bagi Elaun Bantuan Sara Hidup (COLA), Najib mengumumkan kenaikan kepada RM250 sebulan dari RM200 bagi kawasan B manakala bagi kawasan C dinaikkan kepada RM150 daripada RM100.
  Perdana Menteri membuat pengumuman itu pada perhimpunan khas bersama penjawat awam di Dewan Perdana Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pagi ini.
  Ekoran bantahan sebahagian besar kakitangan awam dan Cuepacs sendiri, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan SBPA awal Januari lalu.
  Susulan penangguhan itu, kerajaan menubuhkan sebuah pasukan petugas bagi melaksanakan semakan semula SBPA dan diberi tempoh tiga bulan untuk membuat kajian dan penambahbaikan terhadap skim baru itu.



Sumber : Utusan Malaysia
Inti pati pengumuman Perdana Menteri untuk penjawat awam

PUTRJAYA 8 Mac – Berikut inti pati pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika perhimpunan khas bersama penjawat awam di Dewan Perdana Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
* Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dibatalkan dan mengekalkan Skim Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.
* Penubuhan sebuah suruhanjaya untuk mengkaji secara komprehensif sistem saraan bagi penjawat awam pada masa depan.
* Pelarasan gaji sebanyak 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Professional dan Kumpulan Pelaksana dari Gred 1 hingga Gred 54 iaitu bagi Kumpulan Gred Utama C,B,A (sembilan peratus), Gred Turus 3 dan 2 (lapan peratus) dan Gred Turus Satu dan Ketua Setiausaha Negara (tujuh peratus).
* Jadual gaji matriks diubah suai kepada gaji minimum-maksimum dengan kadar kenaikan RM80-RM320 bagi Gred 1-54 manakala gred bagi Jusa kekal mengikut kenaikan tahunan SSM.
* Elaun Bantuan Sara Hidup (COLA) dinaikkan kepada RM250 sebulan dari RM200 bagi kawasan B manakala bagi kawasan C dinaikkan kepada RM150 daripada RM100.
* Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK), Bayaran Insentif Wilayah (BIW), Bayaran Insentif Pedalaman (BIP) dan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) dikekal pelaksanaannya mengikut peraturan sedia ada di bawah SSM.
* Keputusan penambahbaikan laluan kerjaya berasaskan prinsip “time-based” Pegawai Perkhidmatan Pendidikan seperti yang diumum dalam Bajet 2012 dikekalkan. - UTUSAN



Sumber : Utusan Malaysia
Pelarasan gaji kuatkuasa 1 Januari 2012

PUTRAJAYA: Pelarasan gaji yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini akan berkuatkuasa 1 Januari tahun ini dan dibayar mulai bulan ini atau April, kata Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman.
  Beliau berkata, ia berdasarkan kepada perbincangan CUEPACS dengan Perdana Menteri sebaik selesai Perhimpunan Khas Penjawat Awam Bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, pagi tadi.
  "Sama ada pembayaran akan dibuat secara penuh atau berperingkat, ia bergantung kepada jabatan masing-masing," kata Omar ketika ditemui di sini, hari ini.
  Pada perhimpunan itu, Perdana Menteri turut mengumumkan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengembalikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang akan ditambah baik.
  Sementara itu, Najib turut mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 13 peratus untuk Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana Gred 1 hingga 54; sembilan peratus untuk Gred Utama dan Gred Khas C,B dan A; lapan peratus Kumpulan Turus III dan Turus II; dan tujuh peratus untuk Kumpulan Turus I dan Ketua Setiausaha Negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment