Akhbar

Bernama : 19 November 2011
Penjawat Awam Perlu Bersedia Hadapi Perkara Baru Dalam Perkhidmatan


SANDAKAN, 19 Nov (Bernama) - Penjawat awam perlu bersedia menghadapi pelaksanaan tiga perkara baru dalam perkhidmatan awam mulai tahun depan, kata Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman.
     Beliau berkata bagi tujuan tersebut mereka perlu menyiapkan diri di segi kesihatan, prestasi kerja, produktiviti dan kreativiti bagi membolehkan penjawat awam terus berdaya saing memenuhi permintaan pelanggan.
     Bercakap kepada pemberita selepas program 'Road Tour' CUEPACS di Hospital Duchess of Kent Sandakan di sini, Omar berkata perkara baru itu ialah pengenalan Sistem Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), lanjutan umur bersara kepada 60 tahun dan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK).
      "Penambahbaikan ini memerlukan penjawat awam memberi perkhidmatan lebih baik kepada orang ramai," katanya.
     Omar berkata kira-kira 1.3 juta penjawat awam seluruh negara termasuk 140,000 di Sabah akan mendapat manfaat menerusi pelaksanaan tiga perkara baru itu.
     Katanya, menerusi penambahbaikan ini sudah pasti mereka perlu tampil lebih cekap, kreatif, produktif dan berintegriti selaras dengan peranan melaksanakan dasar-dasar kerajaan. -- BERNAMA





Bernama : 18 Oktober 2011
Cuepacs Mohon Kerajaan Timbang Lanjut Perkhidmatan Penjawat Awam Berstatus Kontrak

KUANTAN, 18 Okt (Bernama) - Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan mempertimbang untuk melanjutkan perkhidmatan penjawat awam berstatus kontrak yang akan ditamatkan perkhidmatan pada 31 Dis ini.
     Presidennya, Datuk Omar Osman berkata pihaknya menerima banyak aduan daripada penjawat awam di jabatan, agensi dan badan berkanun berstatus kontrak yang telah diberikan surat tidak dilanjutkan perkhidmatan mereka.
     "Cuepacs akan menghantar surat secara rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memohon jasa baik beliau untuk melanjutkan kontrak pekerja berkenaan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun lagi," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat isu semasa di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini, Selasa.
     Beliau berkata tempoh berkenaan bagi membolehkan penjawat awam tersebut yang kebanyakkannya daripada kumpulan pengurusan dan profesional memohon perjawatan tetap atau mencari pekerjaan lain bagi meneruskan kehidupan.
     Katanya, kerajaan seboleh-bolehnya diminta agar menyerap penjawat awam berstatus kontrak terbabit untuk memenuhi jawatan kosong yang wujud dalam perkhidmatan awam ketika ini.
     "Ada antara mereka yang telah berkhidmat selama 15 tahun dan kalau ditamatkan begitu sahaja, sudah pasti akan menyusahkan kehidupan mereka yang mempunyai pelbagai beban dan tanggungan," katanya.
     Omar berkata, terdapat kira-kira 45,000 pekerja berstatus kontrak pada masa ini, namun beliau difahamkan bukan semua mereka tidak dilanjutkan kontrak pada hujung tahun ini.
     Sementara itu, beliau mengingatkan para graduan agar tidak berasa bimbang berhubung had umur persaraan yang dinaikkan daripada 58 kepada 60 tahun kerana ia tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan dalam sektor awam.
     Katanya, bukan kesemua penjawat awam akan berkhidmat sehingga usia 60 tahun dan hanya mereka yang mempunyai kesihatan serta masih mampu menyumbang idea dan inovasi bakal diberikan keutamaan.---BERNAMA



Utusan Malaysia : 09 Oktober 2011
Penjawat awam perlu tingkatkan produktiviti - Cuepacs

LANGKAWI 8 Okt. — Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap penjawat awam di negara ini yang berjumlah 1.3 juta orang dapat meningkatkan produktiviti, prestasi kerja dan disiplin berikutan beberapa insentif yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2012 semalam.
      Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, penjawat awam harus bersiap sedia untuk menambah baik perkhidmatan awam di negara ini.
      "Ini adalah satu lagi kejutan yang diberi oleh kerajaan untuk penjawat awam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kesatuan Pegawai Eksekutif (Kepak) di sini hari ini.
      Omar berkata, Cuepacs menyanjung tinggi pengumuman itu kerana 80 peratus permohonannya diluluskan oleh kerajaan.
      Katanya penjawat awam seharusnya mengubah sikap dan tidak harus berada di takuk lama untuk mencapai sasaran negara maju menjelang 2020. — Bernama





Harian Metro : 08 Oktober 2011
SBPA ganti SSM 

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkenalkan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dalam usaha melakukan transformasi perkhidmatan awam di negara ini supaya lebih dinamik, responsif serta berorientasikan prestasi.
      Sistem itu menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) bagi membawa perubahan lebih radikal dalam pengambilan dan pengisian jawatan serta pembangunan kerjaya penjawat awam dengan teras pengekalan atau penamatan perkhidmatan mereka berasaskan prestasi kerja.
      Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat, semalam berkata, antara elemen yang terkandung dalam SBPA termasuk mewujudkan dasar pemisah bagi penjawat awam berprestasi rendah dan mereka yang memilih untuk meninggalkan jawatan.
      Selain itu, beliau berkata, melalui SBPA, ia dapat menambah baik struktur gaji penjawat awam menerusi pembentukan gaji sebaris dengan mewujudkan lebih banyak mata gaji supaya mereka mendapat kenaikan tahunan bagi tempoh lama selain gaji maksimum bagi gred yang lebih tinggi.
      “Dengan itu, gaji maksimum bagi sesuatu gred adalah lebih tinggi berbanding sekarang. Contohnya, jika di bawah SSM, bagi seorang guru pada gred DG48, gaji maksimum RM6,325.39, kelak di bawah SBPA, gaji maksimum meningkat 37.7 peratus kepada RM8,710.
      “Bagi guru bukan siswazah pula, jika di bawah SSM kini, yang berada pada gred DG34, gaji maksimum adalah RM3,860.52, kelak nanti di bawah SBPA akan meningkat 39 peratus kepada RM5,370,” katanya.
      Beliau turut mengumumkan kenaikan gaji tahunan penjawat awam antara RM80 hingga RM320 selain faedah kenaikan gaji antara tujuh hingga 13 peratus bagi mereka yang menerima opsyen SBPA itu.
      “Dengan pelaksanaan SBPA ini, 600,000 pesara kerajaan menikmati pelarasan pencen membabitkan peruntukan RM600 juta. Mulai 2013, kerajaan melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara dua peratus setahun tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelaksanaan gaji,” katanya.
      Najib turut memberi khabar gembira kepada penjawat awam yang berada pada tahap usia persaraan apabila mengumumkan kerajaan bersetuju melanjutkan usia persaraan wajib daripada 58 kepada 60 tahun.
      Katanya, ia bagi mengoptimumkan sumbangan pegawai perkhidmatan awam dan tidak menjejaskan peluang pekerjaan generasi muda kerana sektor awam dan swasta terus mewujudkan peluang pekerjaan.





Kosmo : 08 Oktober 2011

Bonus untuk penjawat awam Disember ini 


KUALA LUMPUR - Kerajaan mengumumkan pemberian bonus tambahan setengah bulan gaji atau minimum RM500 seorang kepada 1.3 juta penjawat awam pada bulan Disember ini.
      Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah itu bertujuan mengiktiraf sokongan penjawat awam dalam pembangunan negara.
      "Langkah tersebut akan menjadikan jumlah bonus yang diberikan kepada penjawat awam pada tahun ini bersamaan dengan sebulan gaji atau bayaran minimum RM1,000.
      "Bayaran ini akan memanfaatkan 1.3 juta penjawat awam," katanya pada pembentangan Bajet 2012 di Dewan Rakyat semalam.





Utusan Malaysia : 08 Oktober 2011
1.2j penjawat awam naik gaji


KUALA LUMPUR 7 Okt. - Kira-kira 1.2 juta penjawat awam bakal menerima kenaikan gaji antara tujuh hingga 13 peratus mulai tahun depan apabila perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2012 di Dewan Rakyat hari ini.
      Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju meningkatkan kadar kenaikan gaji tahunan penjawat awam antara RM80 sehingga RM320 setahun mengikut gred ekoran ia tidak pernah disemak sejak 1991.
      Bagi pesara pula, beliau berkata, lebih 600,000 pesara kerajaan akan menikmati pelarasan pencen melibatkan peruntukan RM600 juta dan mulai tahun 2013 kerajaan akan melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan gaji.
      Di dalam bajet kali ini, Najib turut mengumumkan had umur baru bagi persaraan wajib iaitu daripada 58 tahun kepada 60 tahun bagi mengoptimumkan sumbangan pegawai perkhidmatan awam.
      "Pelanjutan ini tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada generasi muda kerana sektor awam dan swasta akan terus mewujudkan peluang pekerjaan baru," ujar Perdana Menteri.
      Selain itu, Najib juga mengumumkan bayaran bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 kepada kakitangan awam yang akan dibayar pada bulan Disember ini selain bayaran khas RM500 kepada semua pesara kerajaan.
      Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, penyelarasan gaji serta kenaikan kadar kenaikan gaji tahunan itu merupakan salah satu daripada empat elemen Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang mula diperkenalkan dalam bajet tahun ini.
      "SBPA merupakan satu sistem saraan baru yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dan ia digubal dengan bermatlamat mentransformasi Perkhidmatan Awam Malaysia supaya ia menjadi organisasi yang lebih dinamik, responsif dan berorientasikan prestasi," ujarnya.
      Menghuraikan lebih lanjut tiga elemen lagi di dalam SBPA, Perdana Menteri berkata, kenaikan gred berdasarkan time-based (tempoh perkhidmatan) bagi guru akan dikurangkan daripada tahun ke-10 kepada tahun kelapan perkhidmatan.
      Beliau berkata, ini bermakna seorang guru akan berada pada gred 44 pada tahun kelapan dan gred 48 pada tahun ke-16.
      "Jika mengikut time-based sekarang ia memakan masa 10 tahun tetapi di bawah SBPA ia hanya mengambil tempoh lapan tahun sahaja," katanya lagi.
      Satu lagi elemen yang terdapat di dalam SBPA, beliau berkata, gaji maksimum dalam gred ditingkatkan lebih 30 peratus.
      "Sebagai contoh di dalam SSM bagi seorang guru gred DG48 gaji maksimumnya adalah RM6,325.39 tetapi di dalam SPBA gaji maksimum akan meningkat 37.7 peratus. Dengan pertambahan itu jumlah gaji maksimum yang baru ialah RM8,710," ujarnya.
      Ujar Najib elemen terakhir di dalam SBPA ialah wujudnya dasar pemisah atau 'exit policy' bagi penjawat awam yang berprestasi rendah dan bagi mereka yang memilih untuk meninggalkan perkhidmatan.





Sinar Harian : 08 Oktober 2011
Tiga berita gembira bagi penjawat awam


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan tiga berita gembira untuk penjawat awam iaitu kenaikan umur persaraan kepada 60 tahun, kenaikan gaji dan bonus.
      Ketika membentangkan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat semalam, Najib berkata, penjawat awam berumur 55 ke 60 tahun masih boleh memberi sumbangan berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka.
      “Oleh itu, kerajaan setuju lanjutkan umur persaraan wajib daripada 58 tahun ke 60 tahun bagi mengoptimumkan sumbangan pegawai perkhidmatan awam.
      “Pelanjutan ini tidak jejaskan peluang pekerjaan kepada generasi muda kerana sektor awam dan swasta akan terus mewujudkan peluang pekerjaan baru,” katanya.
      Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan memperkenalkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dan melalui sistem baru itu, penjawat awam akan menerima kenaikan gaji tahunan yang ditingkatkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred mulai tahun 2012.
      “Bagi penjawat awam yang menerima opsyen ke SBPA, mereka akan mendapat faedah kenaikan gaji di antara tujuh hingga 13 peratus,” katanya.
      Perdana Menteri turut mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada 1.3 juta penjawat awam dan bayaran bantuan RM500 kepada 618,000 pesara kerajaan.
      “Bayaran itu akan dibuat bersekali dengan gaji bulan Disember,” katanya.
      Najib berkata dengan pelaksanaan SBPA juga lebih 600,000 pesara kerajaan akan menikmati pelarasan pencen yang melibatkan peruntukan RM600 juta.
      “Mulai tahun 2013 nanti, kerajaan akan melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan gaji,” katanya. - Bernama.




Utusan Malaysia : 04 Oktober 2011
CUEPACS harap tuntutan diluluskan dalam Belanjawan 2012


KUALA LUMPUR 4 Okt. - Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berharap beberapa tuntutan yang dikemukakan kepada kerajaan akan diluluskan dalam pembentangan Belanjawan 2012 pada Jumaat ini.
     "Berita gembira kepada kakitangan kerajaan ini tidak mustahil dan kita telah menanti sekian lama. Kita faham kalau dahulu tidak dapat laksanakan (tuntutan) kerana faktor ekonomi semasa.
     "Tapi kini tiada apa yang menghalang tuntutan itu diluluskan memandangkan ekonomi bertambah baik dan tuntutan ini pun untuk menaikkan taraf perkhidmatan penjawat awam untuk keluar daripada beban kewangan selain meningkatkan mutu perkhidmatan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. - Bernama





Berita Harian : 30 September 2011
CUEPACS nafi umur bersara 60 tahun tutup peluang pekerja muda

KUALA LUMPUR: CUEPACS menyifatkan pihak yang menentang cadangan had umur persaraan kakitangan awam dan swasta dilanjutkan kepada 60 tahun adalah golongan tidak faham terhadap keperluan dan kepentingan masa depan.
     CUEPACS memperjuangkan supaya had umur persaraan dilanjutkan bagi membolehkan kakitangan dalam perkhidmatan berdepan pelbagai kenaikan kos sara hidup, termasuk perubatan, perumahan dan barangan keperluan harian.

     Sehubungan itu, Presidennya, Omar Osman berkata, pihaknya tidak berganjak dengan cadangannya supaya umur persaraan dilanjutkan kepada 60 tahun.
     Katanya, adalah wajar umur persaraan kakitangan awam dilanjutkan daripada 58 tahun kepada 60 tahun kerana selain negara maju dan negara serantau juga sudah menaikkan umur persaraan 60 tahun hingga 65 tahun.
     “Jadi, harapan CUEPACS supaya kerajaan meneliti sewajarnya perkara ini dan ia bukan untuk kepentingan kakitangan awam sekarang, tetapi untuk generasi akan datang.
     “CUEPACS memohon sejak 2007 lagi supaya had umur persaraan dilanjutkan kepada 60 tahun dan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi meluluskan kepada 58 tahun.
     “Soal kononnya ia menyekat peluang kenaikan pangkat tidak timbul kerana perkara itu hanya dibimbangi mereka yang semata-mata fokus untuk bekerja di sektor awam saja.
     “Ketika ini ada 200,000 kekosongan jawatan belum diisi di pelbagai agensi dan jabatan kerajaan manakala kakitangan awam bersara pada umur 58 tahun pula tak sampai pun 20,000 orang setahun.
     “Jadi, golongan muda dan mereka yang masih belajar di universiti tak perlu bimbang, yang penting siapkan diri dengan pelbagai ilmu kemahiran pasti mudah mendapat kerja,” katanya pada sidang akhbar selepas perasmian penutup taklimat kepada ahli CUEPACS Zon Timur berkenaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Isu Kebangkrapan di Malaysia dan Khidmat Bantuan Guaman di sini, semalam.
     Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tan Sri Azlan Zainal berkata pihaknya menyokong perlanjutan umur persaraan kakitangan swasta daripada 55 tahun sekarang kepada 60 tahun.
     Bagaimanapun ia dibantah pelbagai pihak terutama golongan muda dari sektor swasta dan awam yang menyifatkan usaha itu sebagai mengarut, menyekat peluang kenaikan pangkat, meningkat kadar pengangguran, masalah sosial dan jenayah menyifatkan KWSP, badan yang diamanah untuk menjaga simpanan lebih lapan juta pencarum tidak mempunyai wang dan agenda tersendiri.
     Omar berkata, CUEPACS sedia memberi penerangan kepada semua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan badan belia mengenai isu perlanjutan umur persaraan kakitangan awam.