Tabung Kebajikan

Borang Faedah Kebajikan
(sila klik untuk pembesaran imej)

TABUNG KEBAJIKAN KESATUAN PEGAWAI-PEGAWAI PENGUATKUASA KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN HAL EHWAL PENGGUNA MALAYSIA
(PINDAAN 25.8.2008 BERKUATKUASA 1.1.2011)

PERATURAN TAMBAHAN TABUNG KEBAJIKAN

KESATUAN PEGAWAI-PEGAWAI PENGUATKUASA KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN HAL EHWAL PENGGUNA MALAYSIA

1.         NAMA

Tabung ini hendaklah dinamakan Tabung Kebajikan Kesatuan Pegawai-Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia. Tabung kebajikan ini hendaklah disebut selepas ini sebagai “Tabung” dan Kesatuan Pegawai-Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia sebagai “Kesatuan” sahaja.

2.         TUJUAN

Tabung ini ditubuhkan bagi tujuan-tujuan berikut:-

(i)                  untuk membolehkan penama ahli atau waris ahli yang sah mendapat bantuan apabila berlaku kematian ahli itu;

(ii)                untuk memberikan faedah bersara kepada ahli-ahli;

(iii)               untuk memberikan bantuan kepada ahli-ahli semasa ahli-ahli itu sakit;

(iv)              untuk memeberi bantuan kepada ahli-ahli Kesatuan yang bertukar tempat kerja; dan

(v)                untuk memberi kepada ahli-ahli semasa ahli atau keluarga ahli berkenaan ditimpa musibah atau bencana.

3.         AHLI

(i)                  Semua ahli-ahli Kesatuan ini dengan sendirinya menjadi ahli tabung ini.

(ii)        Seseorang yang memohon untuk berhenti menjadi ahli Kesatuan atau telah menerima faedah pesara dengan sendirinya terhenti dari menjadi ahli Tabung ini. Seseorang ahli terhutang yurannya selama 3 bulan atau lebih    tidak berhak menerima apa-apa faedah yang ditentukan dalam peraturan-peraturan ini.

4.         KEWANGAN

(i)                  Tiap-tiap ahli dikenakan yuran kebajikan sebanyak RM1.50 (RM: Satu Dan Sen Lima Puluh Sahaja) sebulan menurut Peraturan 4(1), Peraturan Peraturan Kesatuan. Pungutan ini hendaklah diuntukkan dan dipindahkan kepada Tabung ini tidak lewat dari hari yang ke 14 pada bulan yang berikutnya.

(ii)                Semua wang yang dipungut untuk Tabung ini hendaklah digunakan untuk
membayar:-
                       
(a)                Faedah Kematian ahli-ahli;
(b)               Faedah bersara ahli-ahli;
(c)                Faedah waktu sakit ahli-ahli;
(d)               Faedah pertukaran tempat kerja ahli-ahli; dan
(e)                Faedah bagi ahli yang ditimpa musibah atau bencana.

(iii)               Bayaran Faedah dan bantuan tersebut dalam Peraturan 4(ii) di atas hendaklah dibuat mengikut kadar dan cara-cara sebagaimana yang ditentukan dalam Peraturan Tambahan ini.
           
(iv)              Jika Tabung ini tidak digunakan sepenuhnya dalam sesuatu tahun kewangan, bakinya hendaklah dikekalkan di dalam Tabung ini dan dikendalikan dalam satu akaun berasingan.

5.         PENTADBIRAN

Tabung ini hendaklah ditadbirkan oleh Majlis Jawatankuasa Agung Kesatuan.

6.         SIMPANAN BANK

Semua wang Tabung ini hendaklah disimpan di dalam Bank yang diluluskan oleh Majlis Jawatankuasa Agung, atas nama Tabung Kebajikan, dan kira-kiranya hendaklah diselenggarakan bersama-sama oleh Presiden, Setiausaha Agung dan bendahari Agung Kesatuan.

7.         REKOD-REKOD

(i)                  Bendahari hendaklah menyediakan dan menyimpan Buku Kira-Kira yang
berasingan bagi Tabung ini.

(ii)                Buku-buku yang berikut hendaklah diselenggarakan oleh Bendahari:-

(a)                sebuah Buku Tunai;
(b)               sebuah Daftar Penama;
(c)                sebuah Daftar pemohon-pemohon faedah kematian dan bersara yang menunjukkan nama dan butir-butir pemohon;
(d)               sebuah Daftar pertukran tempat kerja ahli-ahli;
(e)                buku-buku lain yang difikirkan perlu oleh Majlis Jawatankuasa Agung.

(iii)               Setiausaha Agung Kesatuan hendaklah menyelenggarankan segala surat
menyurat berkenaan dengan Tabung ini.

8.         PENAMA

Tiap-tiap ahli Tabung ini hendaklah melantik seorang penama. Satu borang penama seperti yang ditentukan oleh Majlis Jawatankuasa Agung hendaklah dipenuhkan oleh tiap-tiap ahli dan dihantar kepada Setiausaha Agung melalui Setiausaha Cawangan. Segala pertukaran penama itu hendaklah diberitahu dengan segera kepada Setiausaha agung melalui Setiausaha Cawangan . Jika tidak ada penama yang dilantik, wang faedah itu hendaklah dibayar kepada waris ahli yang sah disisi undang-undang.

9.         KELAYAKAN MENDAPAT FAEDAH

Tertaluk pada peraturan 3(ii) Peraturan-Peraturan Tambahan ini, semua faedah dibawah peraturan-peraturan ini kecuali faedah kematian dan faedah persaraan tidak boleh dibayar kecuali ahli itu telah menjadi ahli Kesatuan ini dengan tidak putus-putus selama dua puluh empat (24) bulan. Mana-mana ahli yang telah mendapat faedah bersara tidak layak mendapat faedah kematian.

10.       PEMBAYARAN FAEDAH KEMATIAN AHLI
               
(i)         Apabila mati seseorang ahli Kesatuan ini, penama atau waris itu sebagaimana yang ditentukan di bawah Peraturan 8 Peraturan Tambahan ini akan dibayar faedah sebanyak RM 500.00 (RM: Lima Ratus Sahaja). faedah kematian dibawah peraturan-peraturan ini tidak boleh dibayar kecuali ahli itu telah menjadi ahli Kesatuan ini dengan tidak putus-putus selama  dua belas (12) bulan.

(i)                  Permohonan untuk faedah kematian ini hendaklah dibuat dengan seberapa egera setelah berlaku kematian seseorang ahli itu dan pembayaran faedah hendaklah dibuat tidak lewat dari satu bulan setelah permohonan diterima.

(ii)                Tiap-tiap permohonan hendaklah disokong dengan sijil perakuan mati.

11.       PEMBAYARAN FAEDAH BERSARA AHLI

(i)                  Seseorang ahli Kesatuan yang berhenti kerja kerana telah mencapai umur bersara sebagaimana yang ditetapkan dalam syarat-syarat perkhidmatannya akan menerima pembayaran faedah bersara sebanyak RM 300.00 (RM: Tiga Ratus Sahaja). Jika syarat-syarat perkhidmatannya tidak menetapkan umur bersara, perberhentian kerjanya itu hendaklah setelah mencapai umur lima puluh lima (55) tahun untuk ahli-ahli lelaki dan lima puluh (50) tahun untuk ahli-ahli perempuan. faedah bersara dibawah peraturan-peraturan ini tidak boleh dibayar kecuali ahli itu telah menjadi ahli Kesatuan ini dengan tidak putus-putus selama tiga puluh enam puluh (36) bulan.

(ii)                Tiap-tiap permohonan hendaklah disokong dengan surat pengesahan mengenai persaraan ahli itu yang dikeluarkan oleh majikannya.

(iii)               Seseorang ahli yang menerima faedah bersara tidaklah layak menerima faedah kematian.

12.       PEMBAYARAN FAEDAH KEPADA AHLI-AHLI SEMASA DIRAWAT DI WAD HOSPITAL

(i)                  Seseorang ahli Kesatuan yang sakit selain dari sebab keguguran Kandungan dan bersalin, dan dia dirawat di dalam wad mana-mana hospital kerajaan atau swasta selama lima (5) hari atau lebih secara berterusan akan dibayar faedah sebanyak RM 100.00 (RM: Satu Ratus Sahaja). Faedah ini Cuma diberikan sebanyak dua kali dalam sesuatu tahun kewangan.

(ii)                Tiap-tiap permohonan hendaklah disokong dengan dokumen pengesahan
keluar masuk wad oleh hospital yang berkenaan.

13.       FAEDAH PERTUKARAN TEMPAT KERJA AHLI-AHLI

(i)                  Setiap orang ahli yang diarah bertukar oleh pihak majikannya dari stesyen tempat ahli itu bertugas layak mendapat bayaran perpindahan dan pertukaran akan dibayar faedah pertukaran sebanyak 30 sen bagi setiap kilometer jarak perjalanan dari stesyen asal ke stesyen baru mengikut jarak perjalanan jalan raya yang terdekat. Had maksima faedah ini adalah setakat RM 200.00 (RM: Dua Ratus Sahaja). Setiap orang ahli yang diarah bertukar oleh pihak majikannya dari stesyen tempat ahli itu bertugas ke tempat bertugas baru tanpa mendapat bayaran perpindahan dan pertukaran akan dibayar faedah pertukaran sebanyak RM 0.50 (RM : Lima Puluh Sen Sahaja) bagi setiap kilometer jarak perjalanan dari stesyen asal ke stesyen baru mengikut jarak perjalanan jalan raya yang terdekat. Had maksima faedah ini adalah tidak melebihi RM 500.00 (RM: Lima Ratus Sahaja). Setiap ahli cuma berhak mendapat faedah ini sekali dalam 2 tahun kewangan yang sama.

(ii)                Setiap permohonan hendaklah menggunakan borang permohonan dan disokong dengan dokumen pertukaran. Permohonan hendaklah dikemukakan kepada Setiausaha Agung dan diterima oleh beliau dalam tempoh 21 hari dari tarikh pertukaran itu dilakukan.

14.       FAEDAH BAGI AHLI YANG DITIMPA MUSIBAH ATAU BENCANA.

Seseorang ahli Kesatuan yang ditimpa musibah atau bencana boleh memohon untuk mendapat bantuan daripada pihak Kesatuan. Jumlah faedah yang akan dibayar adalah mengikut pertimbangan Majlis Jawatankuasa Agung tetapi tidak kurang dari RM 100.00 (RM: Satu Ratus Sahaja) dan tidak lebih dari RM 500.00 (RM: Lima Ratus Sahaja Sahaja). Musibah atau bencana yang akan diberi pertimbangan adalah bagi perkara-perkara yang melibatkan kematian ahli keluarga terdekat ahli ( anak, ibu, bapa, isteri atau semua ahli) serta bencana besar lain yang difikirkan munasabah oleh Majlis Jawatankuasa Agung.

15.       AUDIT

Kira-kira Tabung ini hendaklah diaudit dengan cara yang sama mengikut kehendak Peraturan 15 dan Peraturan 16 Peraturan-Peraturan tubuh Kesatuan.

16.       PERKARA-PERKARA YANG TIDAK DINYATAKAN DALAM PERATURAN TAMBAHAN

Keputusan Majlis Jawatankuasa Agung adalah muktamad mengenai perkara-perkara yang tidak dinyatakan dalam peraturan tambahan ini melainkan jika dibatalkan oleh Persidangan Perwakilan.

17.       PERBELANJAAN PENTADBIRAN

Wang dari Tabung ini hanya boleh digunakan bagi membayar faedah kematian ahli, faedah ahli yang bersara, faedah ahli yang sakit, faedah ahli bertukar tempat kerja dan faedah ahli yang ditimpa musibah atau bencana mengikut syarat-syarat yang dinyatakan dalam peraturan tambahan ini. Segala perbelanjaan berhubung dengan pentadbiran Tabung ini hendaklah dibayar dari Tabung Am Kesatuan.

18.       PENAMBAHAN DAN PINDAAN PERATURAN TAMBAHAN

Penambahan atau pindaan kepada peraturan tambahan ini tidak boleh dibuat melainkan dengan mengikut Peraturan 24 dari Peraturan-Peraturan tubuh Kesatuan dan segala tambahan atau pindaan ini tidak boleh dikuatkuasakan sehingga didaftarkan oleh Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja.

19.       PEMBUBARAN

Jika Majlis Jawatankuasa Agung berpendapat bahawa disebabkan oleh kedudukan kewangan Tabung ini atau dengan lain-lain sebab Tabung ini tidak boleh lagi diteruskan, maka satu ketetapan bagi pembubarannya akan diambil dengan undi sulit oleh semua ahli yang berhak. Tabung ini tidak boleh dibubarkan dengan sukarela kecuali dengan persetujuan 75% dari ahli-ahli yang berhak mengundi. Apabila Tabung ini dibubarkan, segala tangunggan dan hutangnya hendaklah diselesaikan dengan bakinya, jika ada, hendaklah dipindahkan kepada Tabung Am Kesatuan.



Nota  :  Diluluskan dalam persidangan kali ke vi pada 25.8.2008
             Tarikh kuatkuasa pada 1.1.2011