26 June 2012

Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam

Sumber : Laman Rasmi JPA


   Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan bahawa Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam (SKMTPA) telah mengadakan mesyuarat pada 7 Jun 2012 dan 13 Jun 2012. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh YABhg. Tun Dato’ Seri Zaki bin Tun Azmi, (bekas Ketua Hakim Negara), yang telah dilantik sebagai Pengerusi suruhanjaya tersebut.

   Mesyuarat telah dihadiri oleh semua ahli suruhanjaya, iaitu YBhg. Tan Sri Ismail Adam, bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom, bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, YBhg. Tan Sri Datuk Dr. Hadenan bin A. Jalil, bekas Ketua Audit Negara, YBhg. Tan Sri Hussin bin Ismail, bekas Timbalan Ketua Polis Negara, YBhg. Mej. Jen. Dato’ Paduka Che Hasni bin Che Ahmad (B), bekas Panglima Latihan Tentera Darat, dan YBhg. Dato’ Omar bin Osman, Presiden CUEPACS. Sekretariat bagi SKMTPA adalah Bahagian Perancangan, Penyelidikan dan Korporat (BPP), JPA.

   Tujuan asas Suruhanjaya adalah untuk menambahbaik kualiti perkhidmatan awam melalui penyampaian perkhidmatan berkesan kepada rakyat. Terma Rujukan (TOR) Suruhanjaya ini adalah:

  1. Untuk merasionalisasi perkhidmatan awam bagi meningkatkan keberkesanan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan;
  2. Untuk memastikan transformasi kepimpinan perkhidmatan awam yang berupaya menyeimbangkan kepentingan politik dan pentadbiran;
  3. Untuk memperkasakan modal insan perkhidmatan awam untuk menyampaikan perkhidmatan yang responsif kepada kehendak pelanggan; dan
  4. Untuk mengutamakan kebajikan penjawat awam dengan memastikan perkhidmatan awam yang lebih fleksibel dan adil.

Suruhanjaya ini mengalu-alukan sebarang cadangan dan pandangan daripada semua pihak ke arah penambahbaikan perkhidmatan awam. Semua cadangan dan pandangan boleh dikemukakan dengan melayari http://docs.jpa.gov.my/skmtpa/.

Sekretariat Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam (SKMTPA)
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
Putrajaya
13 Jun 2012

No comments:

Post a Comment